Wednesday 20 February 2013

Wartawan Islam : Sampaikan Berita Benar dan Adil

INDUSTRI pemberitaan dunia hari ini sudah sekian lama tersasar daripada kebenaran apabila dimonopoli kuasa besar yang kebanyakannya dimiliki tokoh Yahudi. Apabila Yahudi menguasai media, sudah pasti berita diterima masyarakat hanya yang baik berhubung rejim Zionis.

Lihat saja siapa di belakang media antarabangsa seperti CNN, CNBC, FOX, REUTERS, BBC dan lain-lain yang sama ada secara langsung atau tidak langsung pasti berkaitan dengan rejim Zionis.

Disebabkan itu, berita kesengsaraan warga Palestin dan kekejaman Israel tidak dihebahkan kepada masyarakat antarabangsa. Begitu juga kesengsaraan umat Islam di Somalia, Kenya, Sudan dan lain-lain.

Hari ini, sudah menjadi fardu kifayah kepada umat Islam untuk menjadi pembekal berita yang sebenar tanpa perlu bergantung kepada sumber asing ini. Peranan dimainkan al-Jazeera ketika peristiwa 11 September dan Perang Amerika-Iraq pada 2003 memberi pukulan teruk kepada media asing yang berpengaruh itu.

Ia sepatutnya dicontohi agensi media tempatan negara kita untuk menjadi pembekal berita setanding al-Jazeera dan media besar lain. Sampai bilakah umat Islam harus bergantung sumber berita media besar bukan Islam ini?

Masyarakat Islam hari ini mendambakan berita yang benar dan siapakah yang diharapkan berpegang teguh kepada kebenaran melainkan berita daripada orang Islam sendiri. Mana-mana wartawan berjuang dengan ikhlas mencari berita yang benar dan menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat sebenarnya menjalankan tugas murni di sisi Islam.

Itulah etika kewartawanan Islami yang semakin tidak dihayati sebahagian pengamal media hari ini, bahkan dalam kalangan pengamal media beragama Islam sendiri. Selama mana kita tidak berpegang kepada etika kewartawanan Islami, selama itulah kita tidak mampu pergi jauh dan menjadi sumber berita yang mempunyai kredibiliti serta diterima ramai. 

Islam begitu mementingkan kebenaran bukan saja dalam laporan pemberitaan bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita. Contohnya, pada sifat Rasullulah SAW yang terkenal ‘al-Siddiq’ yang membawa maksud benar dalam tutur kata dan tingkah laku.

Kebenaran adalah isu pokok dalam ajaran Islam, bahkan Islam menggesa umatnya bercakap benar walaupun pahit terutama apabila kebenaran itu ada ketikanya kena batang tubuh sendiri yang menuturkannya.

Berapa ramai sahabat dan salafussoleh yang apabila ditegur mengakui kesilapannya kerana kuatnya mereka berpegang pada prinsip kebenaran.

Diriwayatkan oleh Jabir, Baginda SAW menyebut yang mafhumnya: “Tiada sedekah yang lebih dicintai Allah daripada bercakap benar.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Sumber Berita Harian

No comments: