Thursday 21 February 2013

Kolej Restu Lahirkan Penyalin Mushaf al-Quran

TUGAS menyalin mushaf al-Quran bukan mudah dan bukan calang-calang orang yang boleh melakukannya kerana penyalin al-Quran biasanya terdiri daripada para hafiz yang menyalin al-Quran berdasarkan hafazan mereka dan mahir dengan seni khat dan jawi.

Namun banyak al-Quran yang disalin dahulu tidak dapat dicetak kerana beberapa masalah dan lama-kelamaan bidang penyalinan mushaf al-Quran semakin kurang diberi perhatian.

Bimbang dengan perkembangan itu, Yayasan Restu, sebuah organisasi yang telah 14 tahun terlibat dalam penyalinan manuskrip al-Quran di negara ini menawarkan kepakarannya untuk memastikan bidang penyalinan mushaf al-Quran terus hidup melalui penubuhan Kolej Restu.

Dengan menawarkan kursus kesenian Islam di peringkat sijil, kolej yang didaftar sebagai institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan terletak di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Shah Alam ini telah berjaya melahirkan lebih 300 pelajar yang mahir dalam bidang kesenian Islam termasuk penyalinan al-Quran.

Luar Dugaan 

Kini Kolej Restu semakin berkembang serta sedang dalam persediaan untuk mewujudkan program-program pengajian di tahap yang lebih tinggi dan usaha tersebut telah menarik minat negara-negara luar untuk menghantar pelajar mereka mendalami ilmu kesenian Islam di Kolej Restu.

Sambutan yang di luar dugaan itu membuka ruang kepada Kolej Restu untuk merintis peluang menjadi tempat tumpuan pengajian khusus dalam bidang kesenian Islam di peringkat antarabangsa.

Menurut Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa, memang banyak pihak yang inginkan kepakaran dalam kesenian Islam ini terutama dalam penyalinan mushaf al-Quran untuk diturunkan kepada generasi akan datang bagi memastikan ia tidak hilang ditelan zaman.

Oleh itu, Kolej Restu telah berusaha melahirkan penyalin mushaf melalui pendidikan dalam bidang seni khat dan seni zukhruf (seni menghias al-Quran) secara sistematik, ilmiah dan komprehensif melalui kursus-kursus yang ditawarkan.

“Kita telah mengambil banyak pelajar-pelajar tempatan dan setelah tamat pengajian ada di antara mereka yang bekerja di bidang seni hiasan dalaman, pejabat agama, guru agama dan ada yang kembali bertugas di Yayasan Restu sebagai penyalin mushaf al-Quran.

“Kita juga telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Universiti Sains Malaysia, Melaka, Terengganu dan Bauchi, Nigeria untuk program pengambilan pelajar dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, pada tahun lalu, Kolej Restu telah memberi kursus singkat kepada mereka yang berminat dalam Kursus Kemahiran Seni Khat dan Kraf dan seramai 21 pelajar termasuk dari Aceh, Indonesia telah menerima sijil tamat kursus daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed pada 9 Ogos lalu.

Mustapa pada majlis yang sama turut merasmikan Program Pengambilan Pelajar Luar Negara selain menyaksikan usaha penyalinan manuskrip mushaf al-Quran beriluminasi penuh terpanjang iaitu kira-kira 210 meter yang dijangka siap pada Ramadan ini.

Sehingga hari ini Kolej Restu telah menerima 20 pelajar dari Nigeria, lima pelajar dari Acheh dan sedang menunggu pendaftaran pelajar baru dari Singapura, Brunei dan Kazakhtan.

Sementara itu, beberapa pelajar luar negara yang sedang mengikuti pengajian di Kolej Restu melahirkan rasa gembira kerana dapat mempelajari ilmu kesenian Islam yang sukar diperoleh di tempat kelahiran mereka.

Osman Yusuf, 22, yang sebelum ini merupakan pelajar jurusan Teknologi Maklumat di Universiti Ahmad Bello, Zaria, Nigeria berkata, beliau sudah dua bulan belajar ilmu kesenian Islam dalam bidang reka bentuk dan hiasan dalaman berkonsepkan Islam di Kolej Restu.

Rakyat Nigeria yang fasih berbahasa Arab ini melahirkan rasa senang menuntut di sini kerana corak pembelajaran dan bahasa pengantarnya yang mudah difahami.

Ariffin Ramli, 19, yang merupakan bekas guru agama di Aceh berkata, beliau mengikuti Kursus Seni Khat dan Kraf selama tujuh bulan di Kolej Restu.

Pelajar tajaan Yayasan Restu ini memberitahu, beliau rasa bertuah kerana dapat belajar dengan tajaan di Malaysia kerana keluarganya kurang berkemampuan.

“"Sebelum ini saya mengajar agama di Pondok Pasantren Babun Najah dan selepas tamat kursus, saya berharap dapat menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi agar dapat menyalurkan ilmu yang saya pelajari di pondok selepas tamat nanti,”" katanya.



Sumber UTUSAN online

......................

Saya sangat-sangat tertarik dan jatuh hati dengan program yang dianjurkan oleh Kolej Restu ni.

Actualy minggu depan saya ada assigment untuk interview pengasas Yayasan Restu, Dato' Abdul Latif Mirassa. Tak sabar rasanya nak tengok depan-depan cara mereka tulis sendiri ayat-ayat Quran guna tangan. Manual tau bukannya komputer. Hebat betul mereka ni.

Moga dipermudahkan. Mohon doa sahabat-sahabat ya.. ^^

No comments: