Sunday 27 January 2013

Syoknyaaa Mengumpat !!!


Mengumpat atau ghibah ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.

Rasullah SAW bersabda : "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya". (Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.

Bagaimana dosa si pelaku dapat diampunkan?

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat itu. Selagi orang yang diumpatkan tidak mengampunkannya, maka dosa itu akan kekal dan dan si pelaku menerima pembalasannya di akhirat.

Rasulullah SAW juga melarang keras mengumpat orang yang sudah bertaubat kerana ini menyebabkan kita membuka keaiban lamanya. Hal ini pasti akan memalukannya sekeluarga. Oleh itu ingatlah wahai si pengumpat! Semua dosa orang yang diumpat itu akan berpindah kepada anda

Dari Muawiyah bin Abi Sufian, Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu mencari keburukan orang, maka kamu telah merosakkannya”. (Riwayat Abu Daud)


Dari Said bin Zaid r.a. Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya riba yang paling besar ialah memperdengarkan (membicarakan sehingga didengar orang) tentang peribadi seorang muslim yang bukan haknya (mengumpat)”. (Riwayat Abu Daud)


TIP ELAK MENGUMPAT

Para ulama sufi terdahulu apabila terasa ingin mengumpat, akan menampar mulutnya sendiri.
Para ulama sufi berkata, terdapat 2 cara untuk melawan perasaan untuk berbuat jahat.

1.      Apabila terasa hendak buat jahat, hati cepat-cepat berkata ‘STOP IT’.

2.      TAHQIQ iaitu menyakitkan anggota badan untuk memberi peringatan pada diri supaya tidak melakukan kemungkaran.

Seorang ulama tasauf, terasa ingin membuat kejahatan lalu dia membuka bajunya dan berguling di atas padang pasir yang panas lagi kontang. Ini menunjukkan bahawa betapa para ulama dahulu memelihara diri mereka dari melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat". (Riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
  

Apakah kesan dari mengumpat?

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukannya pula.

Sabda Rasulullah SAW : "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri." (Riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". (Riwayat                   )

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, Rasulullah SAW bersabda : “ Di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti. Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan yang menghapuskan pahala.

Lihatlah betapa besarnya dosa orang yang mengumpat. Ringan di mulut namun berat timbangannya di akhirat. Yakni ringan sahaja untuk kita mengumpat, tetapi dosa itu teramat berat dan besar di sisi Allah. Perkara ini terlalu biasa bagi kita sehingga tidak sedar akan dosa-dosa dari perbuatan mengumpat.


Jenis umpatan yang diharamkan
1.      Mengumpat bentuk fizikal seseorang.
Contoh : Mengatakan seseorang itu gemuk, pendek dan sebagainya.

2.      Mengumpat keturunan seseorang.
Contoh : Mengatakan seseorang itu berasal dari keluarga pencuri, kaki judi dan sebagainya.

3.      Mengumpat orang yang telah meninggal dunia.
Contoh : Bercerita tentang perihal keburukan si mati semasa hayatnya.

4.      Mengumpat perwatakan seseorang.
Contoh : Mengejek cara seseorang berjalan, bercakap dan sebagainya.

5.      Mengumpat tentang sesuatu benda yang dilakukan oleh seseorang.
Contoh : Mencanangkan apa yang dilakukan oleh seseorang itu di mana dia tidak sukai.

Mengumpat yang dibolehkan

Hukum asal (mengumpat) memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Namun dikecualikan bagi 6 situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Sohih Muslim dan Riyadhus Salihin) :

1.      Apabila diri dizalimi. Harus bagi orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

2.      Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

3.      Bertujuan mendapatkan fatwa (pandangan agama). Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

4.      Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan. Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

5.      Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

6.      Untuk memperkenalkan seseorang. Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha
mengelakkan diri daripada melakukannya.

Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada suka mengumpat. Sentiasalah bersangka baik  dengan orang lain dan ingatlah jika kita suka mengumpat, orang lain juga pasti akan suka mengumpat diri kita. Orang yang suka mengumpat hidupnya sentiasa dilanda stres kerana suka mencari keburukan dan kelemahan orang lain. Tambahan pula wajah si pengumpat tidak awet muda kerana kehidupan tidak tenang kerana naluri yang penuh dengan prasangka.

No comments: