Sunday 27 January 2013

Sehari Di Taman Botani Putrajaya..


Assalamualaikum.. Entri kali ni saya nak kongsikan pengalaman saya di Taman Botani Putrajaya. Ini masa sesi Photoshoot untuk Cover Majalah ANIS bersama Teh Syuhaida Sharip pengacara Wanita Hari Ini..
Entri ni ialah cerita yang saya kena write up untuk ruangan SANTAI dalam Majalah ANIS.. 
Saya copy paste je ni, dah tak edit dah.. ^^
.................................................

Anda mencari tempat menarik untuk beriadah bersama keluarga? Menginginkan udara segar dan pemandangan yang menyejukkan mata?

BERSANTAI pada hujung minggu di Taman Botani yang terletak di Presint 1, Putrajaya, pastinya menjanjikan kelainan, terutamanya jika anda seorang yang gemar bermesra dengan alam. Dengan dataran landai dan berbukit seluas 93 hektar, pengunjung taman awam yang diuruskan Perbadanan Putrajaya (PPj) ini pasti teruja dengan kepelbagaian spesies tanaman yang dihimpun daripada beberapa benua yang ditanam secara tersusun.

Selain disajikan dengan pemandangan indah landskap, pengunjung juga berpeluang mengenali tumbuh-tumbuhan menarik di dunia dengan lebih dekat. Seiring nama dan fungsinya sebagai Taman Botani, taman ini mempunyai kira-kira 700 spesies tumbuh-tumbuhan yang berasal dari 90 buah negara.

Teduhan Ara yg mendamaikan
Atara spesis orkid yg terdapat di Taman Botani Putrajaya

 Di Taman Botani Putrajaya terdapat 13 taman tema yang unik dan menarik untuk dikunjungi oleh pelawat-pelawat. Antaranya ialah Titian Kanopi, Denai Helikonia, Taman Pepanjat, Bukit Palma, Taman Suria, Koleksi Tanaman Afrika, Koleksi Tanaman Amerika Tropika, Koleksi Tanaman Asia Pasifik, Teduhan Ara, Laluan Pandanus, Laluan Kana, Terowong Bunga Kertas dan Taman Paku Pakis.


Ni lah buah asam keping yg digunakan dalam masakan.

Titian Kanopi / Canopy Bridge
Menampilkan 13 tarikan utama, bersantai di Taman Botani pastinya tidak mengecewakan pengunjung khususnya mereka yang suka bersantai dalam persekitaran hijau dan golongan pencinta fotografi.

Antara mercu tanda taman ini yang harus dikunjungi ialah Titian Kanopi yang dibina sepanjang 175 meter. Ia merupakan satu titik permulaan bagi pengembaraan yang menyeronokkan ke Taman Botani Putrajaya. Menarik tentang titian yang menghubungkan Pusat Interpretif Pelawat dengan Denai Helikonia ini, ia terletak betul-betul di lembah yang dipenuhi dengan pelbagai spesies tumbuhan hutan hujan tropika seperti meranti, keruing dan cengal yang diselenggara begitu rapi.





Dari atas titi ini, anda dapat menghirup udara yang segar dan nyaman serta akan menghidu bau pokok yang asli. Anda juga berpeluang untuk melihat sendiri pokok-pokok hutan secara lebih dekat berpandukan penerangan yang disediakan. Lebih istimewa, anda boleh menyentuh sendiri ‘pucuk’ pokok yang mustahil dapat dilakukan jika anda berada di atas tanah.

Astaka Morocco
Setelah kepenatan menerokai khazanah flora, pengunjung boleh beralih pula ke Astaka Morocco.  Pengunjung akan disambut oleh pintu gerbang batu besar untuk masuk ke istana yang dihiasi dengan ukiran frasa epigrafik ayat al-Quran yang begitu indah.  Astaka Morroco adalah merupakan seni bina kontemporari Islam Maghribi pertama yang terdapat di Asia.

Pintu Gerbang Astana Morocco
Astaka Morocco sering menjadi tumpuan pasangan pengantin baharu merakamkan momen indah mereka. Bagi yang berkunjung ke Taman Botani, kunjungan anda tidak akan sempurna sekiranya tidak singgah sebentar ke Astaka Morocco yang memiliki kehalusan seni bina yang cukup tinggi.

Seni bina yang ditampilkan di sini adalah replika daripada binaan asal di Andalusia dan Sepanyol. Konsepnya yang menggabungkan konsep air, kehalusan seni ukiran batu dan keindahan marmar buatan tangan serta landskap pokok tamar memberi gambaran seperti 'Syurga di Bumi'. Pengunjung berpeluang merasai sendiri suasana berada di Morocco walaupun tidak berkesempatan ke sana.

Suasana di dalam Galeri FEZ.. Cantik kan?
Terdapat beberapa tempat utama di dalam Astaka Morroco ini dan antaranya ialah Mahkamah Granada iaitu replika Mahkamah Singa Alhambra, Galery FEZ yang menjadi simbolik kepada Fez iaitu bandar tertua Imperial Maghribi, Galeri Marrakech dan Kraf Morocco yang pempamerkan barangan kraf Morocco yang asli yang terkenal seperti jubin Zelij, kraf kayu, permaidani, dulang tembaga, pisau perak dan senapang.

Tasik Cabana
Bagi yang ingin menikmati keindahan tasik, anda boleh berjalan menyusuri Titian Tasik yang akan membawa anda hingga ke empangan kecil yang memisahkan Tasik Cabana di Taman Botani dengan tasik di Taman Wetland. Di samping itu, anda juga boleh menikmati hidangan di Restoran Makanan Laut Putrajaya yang dibina di atas air sambil menghayati keindahan Tasik Cabana.



Di Taman Botani juga ada menyediakan perkhimatan sewaan basikal bagi pengunjung yang tidak mahu berjalan kaki.

Waktu Operasi Sewaan Basikal
Sabtu – Khamis =  9 AM – 12 PM
                               2 PM – 5 PM

Jumaat                = 9 AM – 11 AM
                           = 3 PM – 5 PM


KADAR HARGA KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN DI TAMAN BOTANI PUTRAJAYA

JENIS PERKHIDMATAN
INDIVIDU / DEWASA
PELAJAR / KANAK-KANAK
Lawatan Berpandu
(minimum 10 orang)
RM 5
RM 3
Perkhidmatan Tram
RM 4
 RM 3
Astaka Morocco
RM 4
 RM 3

Basikal

1 Tempat Duduk
2 Tempat Duduk
Baby Carrier
Isnin - Jumaat
RM 2
RM 4
RM 1
Sabtu – Ahad & cuti umum
RM 4
RM 8
RM 2

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi :

TAMAN BOTANI PUTRAJAYA
PRESINT 1, 62000 PUTRAJAYA.
Tel : 03 8887 7770
Faks : 03 8887 5037
...............................................................

Ok itu saja untuk kali ini.. 
So jangan lupa untuk bersantai di Taman Botani Putrajaya ni ya..
Saya pasti sahabat semua takkan menyesal.. ^^

No comments: