Tuesday 29 January 2013

Bertugas di PESTA BUKU 1 MALAYSIA PWTC

Assalamualaikum w.b.t..

Alhamdulillah seinfinity syukur dirafakkan kepada Allah s.w.t masih memberikan kita nikmat dan Islam dalam hati.. Atas setiap helaan nafas dan udara dan di sedut, jangan lah kita angkuh pada-NYA..

Hari ni, boleh dikatakan seluruh hariku di habiskan di PWTC. Sebagai staf yang bekerja di syarikat penerbitan buku, kami semua pasti tidak akan terlepas dari bertugas apabila setiap kali pesta buku diadakan. Tak kira lah kecil ke besar ke atau yang antarabangsa. No Compromy..

Kali ni Pesta Buku 1 Malaysia bermula 30 Januari hingga lah 3 Februari 2013 yang diadakan di PWTC Kuala Lumpur. Jadi hari ni telah bermula lah kerja-kerja persiapan booth di sana. Bertolak dari ofis pukul 11 pagi. Seramai 20 orang krew berbondong-bondong ke PWTC dari marketing department nya, promosion, corporat communication department sampailah kepada reporter.. Sayalah tu kan.. ^^. Semuanya turun pada sebagai 1 team dan lebih kepada sebuah keluarga sebenarnya.

Ini pengalaman baru bagi saya sebagai wartwan pelatih yang hanya baru beberapa bulan saja menjadi anggota keluarga Galeri Ilmu Media Group. Memang best walaupun teramatlah letih. Memang letih sangat-sangat lah. Sudahlah sebelah petangnya saya sepatutnya ada assigment di NAZA Showroom Petaling Jaya dan event tu sampai malam pulak tu. Tapi sebenarnya saya tak nak sangat pegi sebabnya ada DINNER sekali dengan VVIP, disebabkan imej dan fikrah yang saya bawa begini, jadi saya mohon pada Allah supaya bukan saya yang buat liputan untuk event tu. Walaupun saya tahu peratus untuk saya tak pergi amatlah tipis, tapi DOA tu SENJATA umat Islam kan dan hanya doa yang mampu mengubah sesuatu perkara yang telah ditetapkan ke atas kita tidak akan berlaku.  Saya hanya mohon dalam hati. ^^

Hanya seperkara je yag boleh selamatkan saya, kalau saya balik LAMBAT dan sebelum jam 4 petang. Saya doa sungguh2 supaya kerja-kerja ni semua habis lambat walaupun pada mulanya jangkaan akan habis sebelum pukul 3.

Ada banyak booth kali ni, PTS, Telaga Biru, Storm Reader, Inteam Publishing, Mustread, Karangcraft dan banyak lagi tak larat nak tulis semuanya.. Ehe.. Macam-macam yang perlu dibuat, gantung banting, kelas dan susun buku, macam-macamlah.. Yang paling best masa tiup belon, happening giler.. Belon tu nak hias booth kitorang lah nak kasi gempak sikit.. Gempak lah sangat kan..^^




Tengoklah gambar kat ditatas tu, meriah kan?? ^^



Tengok-tengok jam dah pukul 4. YA ALLAH, assigment! Dah lah tak inform pape dekat editor. Dalam hati habislah "kena" nanti.. Cepat-cepat mesej bagitau. Redha je lah apa nak jadi kan.. Yang penting dah TERLEPAS.. Tu tandanya Allah makbulkan doa.. ^^

Pukul 6 petang, dah gerak nak balik ofis semula. Tarikh saya bertugas semula pada 31 Januari. Dari pukul 8 pagi hingga 10 malam kena berkampung kat sana lah jawabnya..^^

Jom sahabat-sahabat ke PESTA BUKU 1 MALAYSIA di PWTC bermula 30 Januari hingga 3 February. Kalau datang tu jangan lupa berkunjung ke booth Galeri Ilmu ok.. ^^

Salam Sayang Fillah..

Monday 28 January 2013

Cara Mengekalkan AZAM baru..


Assalamualaikum w.b.t..
Moga sahabat semua sentiasa berada dalam pemeliharaan Allah dan diberi kesihatan yang baik.. Aaminn.. 

Setiap orang mempunyai azam baru bukan?. Namun, tidak ramai yang mampu mengekalkan keazaman mereka.. Betul tak?

So kali Ini saya nak berkongsi sedikit tips dari Prof Muhaya..

Bagaimana untuk mengekalkan azam yang kita tetapkan?

Seseorang yang tidak kekal dalam azamnya adalah kerana dia kehilangan fokus.
Contohnya: Seorang pemamain bolasepak mesti tahu di mana gol yang mesti dia jaringkan, itulah fokus utama. Jadi, jika ingin mencapai matlamat, seseorang itu harus mempunyai fokus kepada matlamat yang diinginkan. Fokus dalam kehidupan boleh dicipta melalui skrip kehidupan. 

Tulislah skrip untuk azam baru dari segi kesihatan, minda, hubungan dengan Allah s.w.t , hubungan dengan sesama manusia, wang. Kemudian letakkan di tempat yang mudah dilihat. Ianya membantu seseorang itu sentiasa fokus melalui proses ulangan sehingga mampu mengingatinya. Ingatan kepada skrip kehidupan yang telah kita tulis itu membantu menguatkan fokus dan menguatkan keazaman dengan penuh rasa emosi. 

Apabila seseorang itu fokus dengan penuh emosi maka ianya menjadi satu doa dan harapan kita sebagai hamba yang percaya kepada ketentuan Allah, maka apa yang diinginkan akan tercapai dengan izin Allah.
 
Saya ingin menukar gaya hidup negatif ke arah positif tetapi suami saya memberi pelbagai alasan. Bagaimana untuk saya mengatasi masalah ini?

Seseorang yang banyak memberi alasan adalah orang yang gagal mengatasi rasa ego.
Contoh: Kenapa awak tidak pandai belajar? Alasan yang diberikan adalah cikgu tidak pandai mengajar. Jika sesuatu negatif berlaku,kita meletakkan faktor luaran sebagai sebab yang kita tidak boleh mengubahnya. Harus diingat, orang lain tidak boleh mengubah diri kita, yang boleh mengubah diri kita adalah diri kita sendiri. 

Apabila kita mengubah diri kita nescaya ia akan merubah luaran kita. Perubahan kepada diri adalah contoh terbesar kepada apa yang ada di sekitar (luaran) kita. Maka ubahlah diri kita dahulu dan berdoalah pada Allah semoga suami berubah. Jika kita yakin dan ikhlas insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa kita.
..........................................


Semua manusia mempunyai azam tetapi untuk mencapai azam, mereka perlulah fokus terhadap apa yang diazamkan agar matlamat mereka akan tercapai. Maka setiap manusia menentukan kejayaan mereka senddiri dengan menguatkan fokus, dengan mengenalpasti erti hidup pada hari-hari yang kita lalui dan disiplin diri yang telah kita lakukan.

Jika setiap hari kita berjaya mencapai kejayaan kita tidak akan nampak bahawa kita tidak boleh berjaya. Tentukan setiap hari efektif dengan apa yang kita lakukan diniatkan kerana Allah dan mencari redhaNya.
Selamat bermujahadah ye semua.. ^^

Sunday 27 January 2013

Sehari Di Taman Botani Putrajaya..


Assalamualaikum.. Entri kali ni saya nak kongsikan pengalaman saya di Taman Botani Putrajaya. Ini masa sesi Photoshoot untuk Cover Majalah ANIS bersama Teh Syuhaida Sharip pengacara Wanita Hari Ini..
Entri ni ialah cerita yang saya kena write up untuk ruangan SANTAI dalam Majalah ANIS.. 
Saya copy paste je ni, dah tak edit dah.. ^^
.................................................

Anda mencari tempat menarik untuk beriadah bersama keluarga? Menginginkan udara segar dan pemandangan yang menyejukkan mata?

BERSANTAI pada hujung minggu di Taman Botani yang terletak di Presint 1, Putrajaya, pastinya menjanjikan kelainan, terutamanya jika anda seorang yang gemar bermesra dengan alam. Dengan dataran landai dan berbukit seluas 93 hektar, pengunjung taman awam yang diuruskan Perbadanan Putrajaya (PPj) ini pasti teruja dengan kepelbagaian spesies tanaman yang dihimpun daripada beberapa benua yang ditanam secara tersusun.

Selain disajikan dengan pemandangan indah landskap, pengunjung juga berpeluang mengenali tumbuh-tumbuhan menarik di dunia dengan lebih dekat. Seiring nama dan fungsinya sebagai Taman Botani, taman ini mempunyai kira-kira 700 spesies tumbuh-tumbuhan yang berasal dari 90 buah negara.

Teduhan Ara yg mendamaikan
Atara spesis orkid yg terdapat di Taman Botani Putrajaya

 Di Taman Botani Putrajaya terdapat 13 taman tema yang unik dan menarik untuk dikunjungi oleh pelawat-pelawat. Antaranya ialah Titian Kanopi, Denai Helikonia, Taman Pepanjat, Bukit Palma, Taman Suria, Koleksi Tanaman Afrika, Koleksi Tanaman Amerika Tropika, Koleksi Tanaman Asia Pasifik, Teduhan Ara, Laluan Pandanus, Laluan Kana, Terowong Bunga Kertas dan Taman Paku Pakis.


Ni lah buah asam keping yg digunakan dalam masakan.

Titian Kanopi / Canopy Bridge
Menampilkan 13 tarikan utama, bersantai di Taman Botani pastinya tidak mengecewakan pengunjung khususnya mereka yang suka bersantai dalam persekitaran hijau dan golongan pencinta fotografi.

Antara mercu tanda taman ini yang harus dikunjungi ialah Titian Kanopi yang dibina sepanjang 175 meter. Ia merupakan satu titik permulaan bagi pengembaraan yang menyeronokkan ke Taman Botani Putrajaya. Menarik tentang titian yang menghubungkan Pusat Interpretif Pelawat dengan Denai Helikonia ini, ia terletak betul-betul di lembah yang dipenuhi dengan pelbagai spesies tumbuhan hutan hujan tropika seperti meranti, keruing dan cengal yang diselenggara begitu rapi.





Dari atas titi ini, anda dapat menghirup udara yang segar dan nyaman serta akan menghidu bau pokok yang asli. Anda juga berpeluang untuk melihat sendiri pokok-pokok hutan secara lebih dekat berpandukan penerangan yang disediakan. Lebih istimewa, anda boleh menyentuh sendiri ‘pucuk’ pokok yang mustahil dapat dilakukan jika anda berada di atas tanah.

Astaka Morocco
Setelah kepenatan menerokai khazanah flora, pengunjung boleh beralih pula ke Astaka Morocco.  Pengunjung akan disambut oleh pintu gerbang batu besar untuk masuk ke istana yang dihiasi dengan ukiran frasa epigrafik ayat al-Quran yang begitu indah.  Astaka Morroco adalah merupakan seni bina kontemporari Islam Maghribi pertama yang terdapat di Asia.

Pintu Gerbang Astana Morocco
Astaka Morocco sering menjadi tumpuan pasangan pengantin baharu merakamkan momen indah mereka. Bagi yang berkunjung ke Taman Botani, kunjungan anda tidak akan sempurna sekiranya tidak singgah sebentar ke Astaka Morocco yang memiliki kehalusan seni bina yang cukup tinggi.

Seni bina yang ditampilkan di sini adalah replika daripada binaan asal di Andalusia dan Sepanyol. Konsepnya yang menggabungkan konsep air, kehalusan seni ukiran batu dan keindahan marmar buatan tangan serta landskap pokok tamar memberi gambaran seperti 'Syurga di Bumi'. Pengunjung berpeluang merasai sendiri suasana berada di Morocco walaupun tidak berkesempatan ke sana.

Suasana di dalam Galeri FEZ.. Cantik kan?
Terdapat beberapa tempat utama di dalam Astaka Morroco ini dan antaranya ialah Mahkamah Granada iaitu replika Mahkamah Singa Alhambra, Galery FEZ yang menjadi simbolik kepada Fez iaitu bandar tertua Imperial Maghribi, Galeri Marrakech dan Kraf Morocco yang pempamerkan barangan kraf Morocco yang asli yang terkenal seperti jubin Zelij, kraf kayu, permaidani, dulang tembaga, pisau perak dan senapang.

Tasik Cabana
Bagi yang ingin menikmati keindahan tasik, anda boleh berjalan menyusuri Titian Tasik yang akan membawa anda hingga ke empangan kecil yang memisahkan Tasik Cabana di Taman Botani dengan tasik di Taman Wetland. Di samping itu, anda juga boleh menikmati hidangan di Restoran Makanan Laut Putrajaya yang dibina di atas air sambil menghayati keindahan Tasik Cabana.



Di Taman Botani juga ada menyediakan perkhimatan sewaan basikal bagi pengunjung yang tidak mahu berjalan kaki.

Waktu Operasi Sewaan Basikal
Sabtu – Khamis =  9 AM – 12 PM
                               2 PM – 5 PM

Jumaat                = 9 AM – 11 AM
                           = 3 PM – 5 PM


KADAR HARGA KEMUDAHAN DAN PERKHIDMATAN DI TAMAN BOTANI PUTRAJAYA

JENIS PERKHIDMATAN
INDIVIDU / DEWASA
PELAJAR / KANAK-KANAK
Lawatan Berpandu
(minimum 10 orang)
RM 5
RM 3
Perkhidmatan Tram
RM 4
 RM 3
Astaka Morocco
RM 4
 RM 3

Basikal

1 Tempat Duduk
2 Tempat Duduk
Baby Carrier
Isnin - Jumaat
RM 2
RM 4
RM 1
Sabtu – Ahad & cuti umum
RM 4
RM 8
RM 2

Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi :

TAMAN BOTANI PUTRAJAYA
PRESINT 1, 62000 PUTRAJAYA.
Tel : 03 8887 7770
Faks : 03 8887 5037
...............................................................

Ok itu saja untuk kali ini.. 
So jangan lupa untuk bersantai di Taman Botani Putrajaya ni ya..
Saya pasti sahabat semua takkan menyesal.. ^^

Kata-kata


Mengumpat memang ‘sedap’. Ibarat makan nasi mesti ada sambal belacan, lagi pedas lagi sedap. Tapi ketahuilah, azabnya juga amatlah pedih. Terlebih makan boleh menjadikan perut sakit dan diserang buasir.

Ber HIKMAH lah Dengan Ibu Bapa..


Saya sering diajukan soalan oleh rakan-rakan di FB, kebanyakannya bertanya bagaimana cara terbaik untuk menegur apabila kedua ibu bapa melakukan kesalahan. NAk tegur, bimbang mereka terasa hati dan paling digeruni mendapat title "anak derhaka".. Nau'zubillahi minzalik..

Sahabat..
Islam itu agama yang terlalu indah buktinya jika mahu menegur kedua ibu bapa kita sekalipun diterangkan caranya..

Bagaimana?

1. Bagaimana cara untuk menegur kedua ibu bapa yang berbuat kesilapan kepada Allah?

Saya telah mendengar seorang ustaz telah mengatakan anak-anak tidak boleh menegur ibu bapa, jika teguran itu boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan. Jadi cara pendekatannya ialah seorang anak itu haruslah menggunakan cara yang berhikmah. Jika ibu bapa melakukan kesilapan maka kita boleh menggunakan pendekatan halus seperti “mak, kawan saya telah melakukan sesuatu perkara, bagaimana, mak rasa betul atau tidak perbuatannya itu?” Dengan soalan itu, secara tidak langsung akan menyedarkan ibu kita yang turut melakukan kesalahan yang sama.


2. Bagaimana cara untuk bersabar dengan ragam dan karenah ibu bapa agar tidak digelar anak yang derhaka di dunia dan di akhirat?

Pandanglah ibu bapa dengan penuh kasih sayang dan simpati. Lihatlah album pada waktu kecil kita sekiranya ada. Cuba kenangkan kembali saat di mana ibu bapa kita mula-mula membeli mainan untuk kita, cuba bayangkan pada masa dulu kita tidak mempunyai apa-apa.

Penyakit fizikal boleh diwarat dengan merujuk kepada doktor tapi penyakit hati bukan senang untuk dirawat seperti sakit fizikal. Apabila melihat orang yang kurang elok perangainya pada pandangan mata kita, kita mungkin boleh menganggap dia mempunyai penyakit hati.

Bagaimana cara kita bersimpati pada orang yang sakit fizikal ialah kita akan melawat, beri buah tangan dan sebagainya. Apabila berjumpa dengan orang yang mempunyai sakit dalaman maka kasihanilah dia dengan berdoa pada Allah semoga dia berubah. Pada masa yang sama berusahalah untuk membuka mata hati dan jiwa mereka dengan memberi contoh yang baik.

P/s : Moga sedikit perkongsian diatas dapat membantu kita sebagai seorang anak dalam menegur kedua ibu bapa secara berhikmah tanpa mengguris sedikit pun hati mereka.. InsyaAllah.. ^^


Syoknyaaa Mengumpat !!!


Mengumpat atau ghibah ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.

Rasullah SAW bersabda : "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya". (Riwayat Muslim)

Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.

Bagaimana dosa si pelaku dapat diampunkan?

Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat itu. Selagi orang yang diumpatkan tidak mengampunkannya, maka dosa itu akan kekal dan dan si pelaku menerima pembalasannya di akhirat.

Rasulullah SAW juga melarang keras mengumpat orang yang sudah bertaubat kerana ini menyebabkan kita membuka keaiban lamanya. Hal ini pasti akan memalukannya sekeluarga. Oleh itu ingatlah wahai si pengumpat! Semua dosa orang yang diumpat itu akan berpindah kepada anda

Dari Muawiyah bin Abi Sufian, Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu mencari keburukan orang, maka kamu telah merosakkannya”. (Riwayat Abu Daud)


Dari Said bin Zaid r.a. Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya riba yang paling besar ialah memperdengarkan (membicarakan sehingga didengar orang) tentang peribadi seorang muslim yang bukan haknya (mengumpat)”. (Riwayat Abu Daud)


TIP ELAK MENGUMPAT

Para ulama sufi terdahulu apabila terasa ingin mengumpat, akan menampar mulutnya sendiri.
Para ulama sufi berkata, terdapat 2 cara untuk melawan perasaan untuk berbuat jahat.

1.      Apabila terasa hendak buat jahat, hati cepat-cepat berkata ‘STOP IT’.

2.      TAHQIQ iaitu menyakitkan anggota badan untuk memberi peringatan pada diri supaya tidak melakukan kemungkaran.

Seorang ulama tasauf, terasa ingin membuat kejahatan lalu dia membuka bajunya dan berguling di atas padang pasir yang panas lagi kontang. Ini menunjukkan bahawa betapa para ulama dahulu memelihara diri mereka dari melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat". (Riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
  

Apakah kesan dari mengumpat?

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua. Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukannya pula.

Sabda Rasulullah SAW : "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri." (Riwayat Abu Daud)

Rasulullah SAW bersabda : "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". (Riwayat                   )

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, Rasulullah SAW bersabda : “ Di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti. Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan yang menghapuskan pahala.

Lihatlah betapa besarnya dosa orang yang mengumpat. Ringan di mulut namun berat timbangannya di akhirat. Yakni ringan sahaja untuk kita mengumpat, tetapi dosa itu teramat berat dan besar di sisi Allah. Perkara ini terlalu biasa bagi kita sehingga tidak sedar akan dosa-dosa dari perbuatan mengumpat.


Jenis umpatan yang diharamkan
1.      Mengumpat bentuk fizikal seseorang.
Contoh : Mengatakan seseorang itu gemuk, pendek dan sebagainya.

2.      Mengumpat keturunan seseorang.
Contoh : Mengatakan seseorang itu berasal dari keluarga pencuri, kaki judi dan sebagainya.

3.      Mengumpat orang yang telah meninggal dunia.
Contoh : Bercerita tentang perihal keburukan si mati semasa hayatnya.

4.      Mengumpat perwatakan seseorang.
Contoh : Mengejek cara seseorang berjalan, bercakap dan sebagainya.

5.      Mengumpat tentang sesuatu benda yang dilakukan oleh seseorang.
Contoh : Mencanangkan apa yang dilakukan oleh seseorang itu di mana dia tidak sukai.

Mengumpat yang dibolehkan

Hukum asal (mengumpat) memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Namun dikecualikan bagi 6 situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Sohih Muslim dan Riyadhus Salihin) :

1.      Apabila diri dizalimi. Harus bagi orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

2.      Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

3.      Bertujuan mendapatkan fatwa (pandangan agama). Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

4.      Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan. Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

5.      Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

6.      Untuk memperkenalkan seseorang. Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha
mengelakkan diri daripada melakukannya.

Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada suka mengumpat. Sentiasalah bersangka baik  dengan orang lain dan ingatlah jika kita suka mengumpat, orang lain juga pasti akan suka mengumpat diri kita. Orang yang suka mengumpat hidupnya sentiasa dilanda stres kerana suka mencari keburukan dan kelemahan orang lain. Tambahan pula wajah si pengumpat tidak awet muda kerana kehidupan tidak tenang kerana naluri yang penuh dengan prasangka.